Ahamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya dapatlah saya insan yang kerdil ini mengaktifkan kembali Blog peribadi saya dengan berwajah yang baharu. Kerana dengan keinginan untuk mencari satu Ilmu yang baru serta berkongsi ilmu dari sahabat-sahabat yang lain serta menjadikan ilmu yang diterima itu sebagai tunjang kehidupan yang mana segala ilmu yang kita perolehi adalah milikNya semata-mata. Kita hanya meminjam buat seketika. Lantas dengan itu saya namakan Blog saya ini sebagai " PERMATA ILMU ". Ilmu itu terlalu bernilai dan sukar diganti dengan wang ringgit. Semoga anda semua akan mendapat manfaatnya dan sampai-sampaikanlah akan sesuatu yang baik dari blog ini kepada rakan-rakan yang lain.. amin..

04 November 2011

Salam Aidiladha ( Korban & Pengorbanan )

Bulan Zulhijjah ialah bulan pelaksanaan ibadat haji di Mekah bagi para umat Islam yang telah cukup syarat untuk menunaikannya. Pada hari tersebut para tetamu Allah melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Arafah. Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima yang dianggap kemuncak rukun Islam. Kejayaan melaksanakannya biasanya dicetuskan oleh azam yang kuat, pengorbanan yang tinggi sama ada tenaga dan wang ringgit serta persiapan yang lebih awal dari segi mental dan fizikal.


Perkataan “Haji”bererti ‘pergi atau ‘menuju’. Menurut istilah hukum Islam, haji bererti mengunjungi Baitullah Al-Haram di Mekah kerana mengerjakan ibadat yang tertentu. Mengerjakan ibadat haji hukumnya fardu ain iaitu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam yang telah sempurna syarat-syaratnya. Ibadat ini diwajibkan SEKALI SAHAJA DALAM SEUMUR HIDUP. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Akra’ bin Haabisn telah bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah, haji itu pada tiap-tiap tahun atau sekali sahaja. Sabda Rasulullah SAW: Bahkan sekali sahaja. Maka sesiapa mengerjakan lebih, maka itu adalah sunat”.

Terdapat beberapa hikmat dan faedah mengerjakan ibadat haji, sama ada bagi diri orang perseorangan, masyarakat dan negara. Antaranya:

1. Mengerjakan ibadat haji mendapat ganjaran yang banyak dan keampunan daripada Allah SWT. Sabda baginda Rasulullah SAW: ‘Antara umrah yang pertama dengan umrah kedua penghapusan dosa (yang dilakukan antara keduanya) dan haji mabrur tiada pahala kecuali syurga”. (Riwayat Al-Bukhari).

2. Menjalin dan menguatkan ikatan persahabatan (ukhwah Islamiah) antara satu sama lain.
Dapat berkenal-kenalan, bertukar-tukar pendapat, bagi membincang tentang masalah yang dihadapi oleh umat Islam dengan saudara-saudara Islam yang datang dari pelbagai negara, bangsa dan kebudayaan.

3. Dapat menambah pengalaman dan meluaskan pengetahuan dengan melihat tempat-tempat bersejarah dan melihat kebudayaan atau cara hidup sesebuah masyarakat yang pelbagai negara.

4. Menanamkan rasa insaf di dalam hati kerana ketika mengerjakan ibadat haji itu semua orang berkeadaan sama sahaja dan memakai pakaian yang serupa. Tidak ada beza antara rakyat, orang biasa, berpangkat, kaya dan miskin.

5. Melatih diri supaya bersabar, berani dan tabah hati ketika mengerjakan ibadat haji.

Hal ini terangkum dalam talbiah Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Aku datang (memenuhi panggilan-Mu), ya Allah , aku datang. Aku datang tiada sekutu bagi-Mu, aku datang. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan (kekuasaan) milik-Mu tiada sekutu bagi-Mu’’

Jelaslah bulan Zulhijjah adalah bulan menyahut Ilahi dan menjalin persaudaraan sejagat. Allah SWT telah memilih sepuluh hari yang pertama dalam zulhijjah, dengan mentadbirkan adanya hari Tarwiyyah(hari ke 8), hari Arafah (hari ke 9) dan hari Nahar (hari ke 10) yakni disunatkan berkorban, mengucapkan takbiyyah, ibadat haji dan lain-lain.

Pada hari-hari pertama hingga 10 zulhijjah, hari-hari tersebut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Dalam hal ini, Ibnu Abbas RA meriwatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hari Allah mengampunkan Nabi Adam AS adalah hari pertama bulan Zulhijjah. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan mengampunkan segala dosanya”.

Pada hari kedua, Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus AS dan mengeluarkan baginda daripada perut ikan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, pahalanya seperti orang beribadah kepada Allah Taala selama setahun serta tidak menderhaka kepada Allah dalam ibadahnya meskipun sekadar sekelip mata.

Pada hati ketiga, Allah telah mengabulkan doa Nabi Zakaria As. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan mengabulkan doanya.

Pada hari keempat, Nabi Isa AS dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan menghapuskan kesusahannya dan kefakirannya. Di samping itu, pada hari kiamat dia akan duduk bersama-sama orang-orang yang baik dan mulia”

Hari raya Haji atau Hari Raya Korban mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang harus diperbesarkan oleh umat Islam. Ia bertujuan bagi mengingati dan mengenang semula serta mengambil iktibar daripada pengorbanan tiga manusia agung, yang seharusnya dicontohi oleh setiap lapisan masyarakat, ibu bapa, remaja dan juga pemimpin bagi membina sahsiah dan kecermelangan dalam kehidupan.

Tiga manusia agung tersebut ialah : Pertama Nabi Ibrahim AS yang berjiwa kebal dan kental serta mempunyai cita-cita unggul. Kedua Siti Hajar sebagai isteri solehah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang serta mempunyai kesabaran yang luar biasa. Ketiga : Nabi Ismail AS sebagai anak soleh yang berjiwa takwa, tawakal sehingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah Azza wa Jalla.

Demikian kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kisah tersebut perlu dijadikan iktibar demi meniupkan semangat kesedaran, tanggungjawab dan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah SWT. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS sangat besar iaitu dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Mekah menjadi sebuah kota suci umat Islam yang penting.

Jasa dan pengorbanan ini sewajarnya menjadi contoh dan teladan kepada remaja Islam pada hari ini dalam usaha menegakkan agama Allah. Contoh perjuangan tanpa mengenal erti penat dan jemu khususnya sempena dengan kedatangan Hari Raya Korban ini.

Umat Islam dituntut mengenang semula sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, demi menjunjung titah perintah Allah, membangunkan Mekah menjadi sebuah kota suci yang penting bagi umat Islam seluruhnya.
  
Sempena Hari Raya Korban umat Islam hendaklah memperbesarkannya dengan sewajarnya iaitu mengucapkan takbir secara berterusan pada malam hari raya hingga solat Aidiladha didirikan pada esoknya. Masyarakat Islam segenap lapisan disunatkan hadir beramai-ramai menunaikan solat sunat Hari Raya Korban. Jika pada hari raya Aidilfitri kita disunatkan menjamah makanan, tetapi pada hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat demikian.

Sebaik selesai upacara sembahyang sunat hari raya korban, umat islam disunatkan menyembelih binatang korban iaitu sunat muakkad (yakni sunat yang dikuatkan) atas orang yang mampu yang boleh dilakukan pada Hari raya haji dan 3 Hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Hikmat penyembelihan korban pada setiap tahun ini menjadi latihan agar umat Islam mempunyai semangat berkorban demi untuk menegakkan agama Allah dan keagungan umatnya. Selain itu, daging korban dapat diagih-agihkan kepada fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik sebagai sedekah dan jihad kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan